Saturday, October 3, 2009

Maahad Muhammadi Gua Musang Sambut Jubli Perak






ImageGUA MUSANG, 9 Syawal 1430 - Maahad Muhammadi Gua Musang(MMGM) yang kini telah berusia 25 tahun telah mengadakan sambutan Jubli Perak baru-baru ini dengan mengadakan pelbagai program Pemeriksaan Kesihatan percuma,Pameran buku,demontrasi mencegah kebakaran oleh pasukan Bomba dan Penyelamat,Kaunter Daftar Pemilih,perlawanan bolasepak persahabatan serta forum perdana yang menampilkan dua ahli panel iaitu Dato’Tuan Ibrahim Tuan Man dan Zamihan Mat Zin.

Menurut Pengetua MMGM Ustaz Shamsuri Dollah, sambutan jubli perak ini adalah bermatlamat mengimbas kembali sejarah pengasasnya,usaha dan pengorbanan dalam menyebarkan ilmu kepada masyarakat dalam bentuk yang lebih baik dan terurus.

Shamsuri berkata cetusan awal penubuhan MMGM ini adalah kerana kesedaran dan pandangan ahli Ulamak pada masa itu terhadap kepentingan pendidikan Islam di satu daerah yang dianggap begitu terpencil dan jauh di pedalaman.

“Kini dengan gabungan kurikulum Yayasan Islam Kelantan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia telah menjadikan MMGM bertambah mantap dan berkualiti dan kini mampu melahirkan pelajar yang terbaik dari sudut akademik dan akhlaknya”ujar beliau.

Majlis sambutan Jubli Perak tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam,Pendidikan dan Dakwah Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz ketika berucap di majlis tersebut menyeru penduduk di kawasan Gua Musang agar menjadikan sedekah dan derma sebagai satu aktiviti.

“Saya amat berharap tuan-tuan dapat sama-sama menyumbang dalam pembinaan asrama ini demi kepentingan anak-anak kita dan orang di kawasan pedalaman ini mempunyai sumber hasil yang lumayan seperti getah dan kelapa sawit”katanya.

MMGM yang ditubuhkan pada 3hb.April 1984 telah diasaskan oleh Allahyarham Ustaz Haji Ibrahim Haji Harun dengan empat tenaga pengajar dan 20 pelajar dengan sumber pendapatan yang disumbangkan oleh orang ramai telah diambil alih oleh YIK pada bulan September 1984 sehinggalah sekarang.

Kini MMGM telah maju setapak lagi dengan menyediakan kelas Tahfiz dan ia memerlukan sebuah asrama. Melalui program sambutan Jubli Perak ini juga telah dilancarkan tabung Dana MMGM bagi membina sebuah asrama yang dianggarkan bernilai RM2 juta.

No comments:

Post a Comment