Wednesday, October 7, 2009

Anak Kelantan di seru amalkan Konsep Membangun Bersama Islam







ImageKOTA BHARU, 2 Syawal 1430 - YAB Menteri Besar Kelantan menyerus kepada semua anak Kelantan di perantauan agar menjadikan konsep Membangun Bersama Islam agenda dalam kehidupan harian mereka dan sentiasa menjaga maruah keluarga dan maruah negeri ini.


Beliau berkata sedemikian ketika meraikan anak Kelantan di majlis Mesra Aidilfitri Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak-Anak Kelantan di Perantauan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan Di Perantauan(PERAKAN) bertempat di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre baru-baru ini.

Menurut beliau lagi kejayaan Kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan ulamak meneruskan pembangunan fizikal dan rohani selama hampir dua puluh tahun adalah turut dibantu oleh anak Kelantan yang berada di perantauan.

"Saya amat berbangga kerana setiap kali musim Pilihanraya,rakyat negeri ini yang berada di luar sentiasa pulang memberi sokongan kepada kerajaan dan ini menggambarkan konsep Membangun Bersama Islam itu membawa erti yang besar kepada tuan-tuan semua"katanya lagi.

Beliau juga berkata peranan anak Kelantan di Perantauan amat besar ertinya bagi kerajaan negeri kerana walaupun pelbagai cabaran dan cemuhan yang digembar gemburkan oleh parti lawan,namun anak Kelantan tidak semudah itu hendak diperkotak katikkan oleh mereka yang tidak bertanggung jawab.

“Kini sudah hampir dua puluh tahun kerajaan Kelantan di bawah konsep Membangun Bersama Islam dan kita lihat sudah banyak perubahan yang dilaksanakan dan ini semua adalah berkat kerjasama seluruh rakyat termasuk yang berada di luar Kelantan”ujarnya lagi.

Majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato’ Ahmad Yakub, Speaker Dun Kelantan Ustaz Nasrudin Haji Daud,Exco negeri, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Haji Shafie Ismail,Wakil Rakyat,Ketua-ketua Jabatan serta isteri masing-masing dan barisan Pimpinan PERAKAN yang diketuai oleh Timbalan Presiden Muhammad Radhi Yusof dan Setiausahanya Ir.Hamdzah Abdul Rahman telah dihidangkan dengan pelbagai kuih muih,nasi komok dan jamuan satay,anak Kelantan juga dihiburkan dengan Dikir Barat yang diketuai oleh Jeng Indoro serta tayangan Multimedia yang disediakan oleh Darul Digital.

Kehadiran yang mencecah hampir 2000 anak Kelantan yang berada di luar menghadiri majlis tersebut adalah melambangkan sokongan padu mereka kepada kepimpinan Islam negeri itu.

No comments:

Post a Comment