Tuesday, December 15, 2009

7 Tol Melalui Sirat

Sirat atau titian yang merintangi neraka jahannam menuju ke syurga. Tiada sesiapapun yang akan terkecuali daripada merintangi titian ini. Dalam titian ini, manusia akan menghadapi tujuh sekatan dan setiap sekatan ada soalan-soalan dan pemeriksaan yang terpaksa dilalui oleh manusia.

1. Sekatan pertama, manusia akan diperiksa dengan syahadah mereka. Adakah benar mereka beriman kepada Allah dan Rasulnya seperti dalam lafaz syahadah. Manusia juga mestilah bebas dari syirik.

2. Sekatan kedua, manusia akan diperiksa dengan solat mereka. Solat hendaklah sempurna dengan rukun-rukun, syarat-syarat serta khusyuk hati mereka.

3. Sekatan ketiga, manusia akan ditanya mengenai ibadah puasa mereka. Adakah puasa mengikuti rukun-rukunnya serta tidak dirosakkan dengan perkara yang membatalkan puasa atau merosakkan pahala puasa.


4. Sekatan keempat, manusia akan ditanya mengenai zakat. Adakah mereka mengeluarkan zakat seperti yang disyariatkan.

5. Sekatan kelima, manusia akan diperiksa dengan ibadat haji.

6. Sekatan keenam, manusia akan ditanya dengan wudhuk dan mandi wajib. Kecuaian dalam melaksanakan kedua-dua ibadah ini menyebabkan sesetengah ibadah tak boleh dilaksanakan. Perlu belajar, tidak boleh ikut-ikut orang dalam melaksanakan ibadah bersuci. Tidak boleh sekadar membaca buku, perlu berguru agar tidak sesat dan diganggu syaitan.

7. Sekatan ketujuh, manusia akan ditanya sama ada mereka melakukan kezaliman terhadap sesama manusia. Tidak boleh disembunyikan kezaliman yang dilakukan terhadap manusia lain.
Jika tol atau sekatan jalan raya (road block) di dunia mampu dihadapi dengan mudah oleh manusia. Masuk jalan bertol, kena bayar tol. Kalau kena saman kat road block, boleh bayar. Boleh buat rayuan lagi. Namun di akhirat tidak semudah itu. Hanya amalan, keikhlasan dan keimanan manusia yang mampu menghadapi sekatan-sekatan yang bakal dikenakan. Sebuah kisah dalam Al-Quran dalam surah Al Kahfi sebagai renungan.

Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain. Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan Kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.
Surah Al Kahfi: 32-33

Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh. Dengan pengikut-pengikutku yang ramai".
Surah Al Kahfi: 34

Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: "Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya. Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah Aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.
Surah Al Kahfi: 35-36

Berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang dengannya: "Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki? Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku.
Surah Al Kahfi: 37-38

Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu,
Surah Al Kahfi: 39

Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) Dia akan menimpakan dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus. Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi".
Surah Al Kahfi: 40-41

Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!"
Surah Al Kahfi: 42

Dan ia tidak mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain dari Allah; dan ia pula tidak dapat membela dirinya sendiri. Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan Yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).
Surah Al Kahfi: 43-44

Monday, December 14, 2009

Penduduk lihat hukuman rejam


MOHAMED ditanam dalam lubang di Afgoye, pada Ahad lalu.


MOGADISHU - Sekumpulan militan Islam memaksa penduduk melihat mereka merejam seorang lelaki sehingga mati kerana berzina di Somalia, lapor sebuah akhbar semalam.

Kumpulan itu turut membunuh seorang lelaki kerana didakwa sebagai pembunuh.

Menurut beberapa saksi, hukuman itu mencetuskan pertempuran senjata antara kumpulan tersebut dengan kumpulan lain dengan mengakibatkan tiga militan terbunuh.

Kejadian berlaku di Afgoye, 32 kilometer dari sini pada Ahad lalu.

"Tiga anggota pejuang kumpulan Hizbul Islam terbunuh dan lima lagi cedera apabila mereka saling bergaduh antara satu sama lain," kata seorang pekedai, Halima Osman.

"Sebahagian anggota kumpulan itu mahu menangguhkan hukuman manakala yang lain menentangnya.

"Anggota-anggota itu kemudian berbalas tembakan.

"Kumpulan yang menentang hukuman itu tewas dan kemudian melarikan diri," tambahnya.


SEORANG lelaki menimbus tanah di dada Mohamed.


Sebelum dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang syariah, Hakim Osman Siidow Hasan memberitahu penduduk, dua lelaki itu mengaku melakukan kesalahan selepas siasatan dilakukan.

Seorang wanita yang mengaku melakukan hubungan seks di luar nikah turut dihukum 100 kali sebatan.

"Ini merupakan hari penghakiman," kata Osman kepada orang ramai.

"Kami telah melakukan siasatan dan mereka sudah mengaku," tambahnya.

Hukuman itu dibuat selepas pertempuran antara kumpulan yang menentang dan kumpulan yang mahu hukuman itu dilaksanakan dengan segera berakhir.

Seorang anggota keluarga mangsa yang dibunuh kemudian menembak mati penembaknya yang telah ditangkap.


BEBERAPA orang merejam Mohamed sehingga dia mati.


Pesalah zina tersebut, Mohamed Abukar Ibrahim ditanam di dalam lubang sehingga ke dada dan direjam sehingga dia mati.

"Saya tidak sanggup untuk melihatnya," kata seorang lelaki, Ali Gabow.

Menurutnya, seorang wanita yang mengaku berzina itu dihukum 100 kali sebatan kerana dia menyatakan dirinya masih belum berkahwin. - Agensi

Friday, December 4, 2009

Rakyat Kelantan solat hajat di hadapan Kaabah

KOTA BHARU,4 Dis: Usaha pihak lawan mahu menggugatkan kestabilan kerajaan Kelantan turut mendapat perhatian rakyat negeri ini yang sedang mengerjakan ibadat haji di Makkah.

Mereka turut bersimpati terhadap apa yang berlaku melalui berita yang disampaikan dari semasa ke semasa.



Sehubungan itu, Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (BBC) mengadakan solat hajat di hadapan Kaabah di Mekah malam tadi memohon kepada Allah dikekalkan kerajaan PAS Kelantan dan dilembut hati perdana menteri supaya memberi royalti minyak.

Timbalan Pengerusi BBC, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, solat hajat tersebut akan disertai jemaah di kalangan rakyat Kelantan dan beberapa pemimpin PAS yang berada di tanah suci.

Difahamkan turut berada di Makkah Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nasuruddin Daud, Adun Air Lanas, Ustaz Abdullah Ya’kob, Adun Melor, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh, Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman dan Adun Chetok, Ustaz Abdul Abdul Halim Abdul Rahman dan Zainuddin yang juga Adun Limbongan.

Zainuddin ketika dihubungi di sini berkata, senjata utama di kalangan orang-orang mukmin ialah doa dan solat hajat bukannya wang ringgit.

Beliau juga menyifatkan tindakan segelintir pemimpin Umno berhimpun di depan bangunan Kota Darulnaim bagi mendesak Tuan Guru Nik Abdul Aziz meletak jawatan kerana isu doa sebagai benar-benar ketandusan isu.

“Di mana pemimpin-pemimpin atasan Umno sehingga memperalatkan orang kampung dan penarik beca datang menyertai demonstrasi,” katanya.

Selasa lalu kira-kira 100 orang penyokong Umno yang diketuai Timbalan Ketua Umno Pasir Mas, Che Johan Che Pa berhimpun tanpa permit di depan SUK membantah Menteri Besar berkaitan isu doa.

Sebelum itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam khutbah Hari Raya memohon kepada Allah Taala membuka pintu hati perdana menteri bagi memberi royalti minyak kepada Kelantan.

Bagaimanapun katanya, kalau pemimpin negara masih enggan didoakan sesuatu musibah berlaku sebagai satu peringatan kepada mereka.

Tuesday, December 1, 2009

Tugas-Tugas Syaitan Di Atas Muka Bumi.

IBLIS dan syaitan adalah musuh nyata manusia. Kedua-duanya termasuk kaum jin yang dijadikan daripada api sangat panas dan tergolong dalam spesies makhluk ghaib, iaitu tidak kelihatan dengan mata kasar manusia biasa, kecuali apabila ia menjelma dalam bentuk tertentu.

Syaitan dan iblis mempunyai empayar kerajaan yang besar, malah ada pihak mendakwa nisbah seorang manusia 99 jin, manakala satu jin 99 malaikat, menunjukkan banyaknya makhluk terbabit yang mempunyai tugas masing-masing.


Antara tugas syaitan ialah:

1. Menghasut manusia untuk melakukan kejahatan. Sebab itu Allah mengingati manusia supaya berwaspada dengan hasutan terbabit.

"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara yang keji, dan menyuruh kamu berkata dusta terhadap Allah, apa yang kamu tidak ketahui." (al-Baqarah:168-169)


2. Menakut-nakutkan manusia. Syaitan juga bekerja menakutkan dan membimbangkan manusia, terutama berdepan persoalan rezeki, dengan hidup miskin dan susah.

"Syaitan itu menjanjikan kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedangkan Allah menjanjikan kamu keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Maha Mengetahui." (al-Baqarah :268)

3. Menyesatkan manusia. "Tidakkah engkau melihat orang yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya." (an-Nisa' : 60)

4. Menimbulkan permusuhan sesama manusia. Cara syaitan ialah menimbulkan syak wasangka, hasad dengki dan kebencian. "Sesungguhnya syaitan itu berkehendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan arak dan judi..." (al-Maidah: 91)

5. Melalaikan dan menghalang manusia daripada mengingati Allah. "...dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti?" (al-Maidah: 91)

6. Mencari calon penghuni neraka. "Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagimu, maka jadikanlah dia musuh; sebenarnya dia hanya menyeru golongannya supaya menjadi penduduk Neraka." (Fathir:6)

7. Berusaha merayu manusia supaya mencintai dan memujanya. "Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagimu!" (Yasin:60)

8. Disebabkan tidak senang dengan ketenangan manusia, syaitan mengada-adakan pelbagai onar, termasuk membisikkan sesuatu ke telinga dan hati manusia.

"Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. Dari kalangan jin dan manusia." (an-Nas: 4-6)